Friday, 22 July 2011

SIKAP

Salam Ukhwah..

  Akal yang cerdik sentiasa ingin tahu mengapa jalan keluar dikaitkan dengan tekanan dan kenapa kemudahan dikaitkan dengan kesusahan? Itu adalah kerana ketika tekanan dan kesusahan itu sudah semakin besar dan mencapai kemuncaknya dan seorang hamba sudah mulai putus asa untuk boleh keluar dari tekanan dan kesusahan itu sampai dengan cara meminta bantuan kepada sesama manusia maka ketika itulah hamba itu benar-benar bergantung sepenuhnya kepada Allah. Inilah hakikat tawakal itu.
  
  Begitu jugalah dengan orang mukmin, jika jalan keluar itu tidak kunjung tiba dan dia sudah putus asa kerana selepas banyak doa di hadapan-Nya, belum juga nampak tanda-tanda akan dikabulkan maka dia akan memaki dirinya sambil berkata: "Saya diberi melalui dirimu maka jika dalam dirimu ada kebaikan pasti akan engkau kabulkan permintaanku."

  Cara mencela diri sendiri seperti ini lebih disukai oleh Allah daripada ketaatan itu sendiri.  Sebab perasaan rendah diri seperti itu akan menghantar seorang hamba kepada Tuhannya dan akan menimbulkan pengakuannya di hadapan-Nya bahawa dia patut untuk mendapat cubaan ini dan bahawa doanya tidak patut dikabulkan.  Perasaan rendah diri seperti itu kemudian akan membukakan jalan keluar dan perkenan.

  Syeikhul Islam Ibnu Taimiyyah telah berkata: "Ada masa-masanya aku berkata di dalam hati: 'Jika penduduk syurga merasa apa yang aku rasakan, itu ertinya mereka hidup dalam kebahagiaan.


 

Tuesday, 19 July 2011

REDA BERMAKNA KAYA DAN AMAN

Salam Ukhwah.



    Sesiapa memenuhi hatinya dengan keredaan terhadap qadha maka Allah akan memenuhi hatinya dengan kekayaan, rasa aman, serta qana'ah.  Allah akan menjadikan hatinya penuh dengan cinta, inabah dan tawakal kepada-Nya.  Sebaliknya, orang yang tidak reda, hatinya akan penuh dengan kebencian, kemungkaran dan derhaka dan akan sibuk dengan hal-hal yang melawan kebahagiaan.
      
     Keredaan akan mengosongkan hati dari berbagai-bagai halangan dan membiarkannya hanya untuk Allah.  Tetapi sikap tidak menerima akan menghabiskan isi hati dari segala sesuatu yang berkaitan dengan Allah.  Bagi orang yang tidak menerima, hidup yang sebenar tidak dapat dirasakannya dan bagi orang yang selalu mengeluh, tidak ada ketetapan yang boleh ia rasakan.  Hidupnya tidak teratur.  Yang nampak pada pandangannya hanyalah rezekinya yang sekadar, nasibnya yang terlalu susah, anugerah yang diperolehinya terlalu kecil dan musibah yang tidak kunjung berakhir.  Ia merasa bahawa dirinya berhak mendapat yang lebih dari semua itu.  Pada pandangannya, Tuhannya hanyalah penghalang yang selalu membuatnya gagal, yang menghalangn dari kebaikan, yang memberi ujian, yang membebankannya dan yang membuat keadaannya menjadi lebih buruk.

     Dengan mata yang sudah tidak jernih seperti itu, bagaimana mungkin ia boleh merasa kemesraan Tuhannya, bagaimana ia boleh merasa bahagia dan bagaimana ia boleh merasa hidup? Tidak ada hidup bagi orang yang selalu membenci dan mendendam.  Dia selalu berada dalam keadaan yang tidak jelas.  Dia selalu melihat rezekinya kurang, nasibnya malang, anugerah Allah yang diberikan kepadanya terlalu sedikit dan musibah yang menimpanya silih berganti.  Dia selalu melihat bahawa dirinya berhak mendapat yang lebih dari semua itu, lebih tinggi dan mulia.  Tetapi Tuhannya-dalam pandangannya-sudah menghalangnya dan sudah menimpakan musibah kepadanya, mengecilkan kewujudannya dan membuatnya terperosok.  Bagaimana mungkin orang yang seperti ini akan bahagia, tenang dan menikmati hidup?

 "Kematian mereka dalam keadaan yang buruk itu, kerana mereka menurut (serta melakukan)perkara-perkara yang menyebabkan kemurkaan Allah dan mereka pula membenci perkara-perkara yang diredai-Nya. Oleh itu, Allah gugurkan amal-amal mereka (yang baik, yang pernah mereka lakukan)."  (Surah Muhammad: 28)

   

Saturday, 2 July 2011

HARGA ANDA ADALAH SYURGA

Salam Ukhwah...


   Seorang pujangga bermadah: mengapa aku mesti menangisi sesuatu yang mesti pergi?

    Dunia dengan emas dan peraknya, jawatan dan rumah megahnya, ataupun istananya, tidak berhak mengalirkan setitis pun air mata kita.  Diriwayatkan oleh At-Tirmizi bahawa Baginda Rasul bersabda: "Dunia ini terkutuk, semua yang ada di dalamnya terkutuk, kecuali zikir kepada Allah, hal-hal yang berkaitan dengan zikir, seorang alim dan seorang penuntut."
      
    Dunia dan kekayaan itu sebenarnya tidak lebih dari barang amanah.  Begitulah yang dikatakan oleh Labid: "Harta dan keluarga sudah tentulah merupakan barang amanah dan apabila sampai waktunya barang amanah itu akan dikembalikan."

     Wang berbilion, rumah-rumah megah dan kereta-kereta mewah tidak akan menangguhkan kematian seseorang hamba.  Begitulah dikatakan oleh Hatim At-Ta'i: Demi hidupmu, kekayaan takkan memberi manfaat kepada seorang pun ketika dada sudah tersengal dan sesak.  Oleh itu kalangan bijaksana berkata: "Tentukan harga sesuatu itu secara rasional.  Sebab dunia dan isinya tidak lebih mahal dari jiwa seorang mukmin."
      
      "Dan (ingatlah bahawa)kehidupan dunia ini (meliputi segala kesenangan dan kemewahannya, jika dinilaikan dengan kehidupan akhirat)tidak lain hanyalah ibarat hiburan dan permainan." (Surah Al-Ankabut: 64)


      Hasan Al-Bashri berkata: "Jangan tentukan harga dirimu kecuali dengan syurga.  Jiwa orang yang beriman itu mahal, tetapi sebahagian dari mereka menjualnya dengan harga yang murah."


 
      
       Ramai orang yang menangis meraung-raung kerana kehilangan harta, rumah mereka binasa dan kereta mereka terbakar, tetapi mereka tidak menyesal dan tidak bersedih hati apabila merosot nilai keimanan mereka, bertambah dosa-dosa mereka dan sikap mereka yang memandang sebelah mata terhadap nilai ketaatan kepada Tuhan mereka, mereka akan menyedari bahawa mereka tidak ada nilainya jika diukur dengan apa yang mereka tangisi dan akan menyesali apa yang mereka lakukan.  Masalah nilai, idealisme, sikap dan misi.

      "Sesungguhnya mereka (orang kafir) menyukai kehidupan dunia dan mereka tidak mempedulikan kesudahan mereka, pada hari berat (hati kiamat)." (Surah Al-Insan: 27)


 

Wednesday, 29 June 2011

WANITA MUSLIMAH YANG TERPUJI

Salam Ukhwah...



     Wanita adalah salah satu ciptaan Allah s.w.t yang mulia.  Karakteristik wanita berbeza dari lelaki dalam beberapa hukum misalnya aurat wanita berbeza dari aurat lelaki.  Wanita memiliki kedudukan yang sangat agung dalam Islam.  Islam sangat menjaga martabat wanita.  Wanita yang mulia dalam Islam adalah wanita muslimah yang solehah.


      Wanita muslimah tidak cukup hanya dengan muslimah sahaja, tetapi haruslah wanita muslimah yang solehah kerana ramai wanita muslimah yang tidak solehah.  Allah s.w.t sangat memuji wanita muslimah, mu'minah yang sabar dan khusyu'.  Bahkan Allah s.w.t mensifati mereka sebagai para pemelihara yang taat.  
Allah s.w.t berfirman: "Maka wanita yang solehah adalah yang taat, lagi memelihara diri  ketika suaminya tiada kerana Allah telah menjaga mereka." (Surah An-Nisa': 34)

     
     Wanita solehah adalah idaman setiap orang.  Harta yang paling berharga, sebaik-baik perhiasan.   Nabi Muhammad s.a.w bersabda: "Dunia seluruhnya adalah perhiasan.  Dan
sebaik-baik perhiasan dunia adalah wanita yang solehah."



      Alangkah indahnya jika setiap muslimah menjadi wanita yang solehah, idaman setiap suami.  Oleh kerana setiap wanita bersegera untuk memperbaiki diri dan akhlaknya agar menjadi wanita yang solehah.  Oleh kerana itu, kita harus mengetahui sifat dan ciri-ciri wanita solehah, di antaranya: 
  1. Wanita muslimah adalah wanita yang beriman bahawa Allah s.w.t adalah Rabbnya, dan Nabi Muhammad s.a.w adalah nabi-Nya, serta Islam adalah pedoman hidupnya.  Semua itu nampak jelas dalam perkataan, perbuatan, dan amalannya.  Dia akan menjauhi apa-apa yang menyebabkan kemurkaan Allah, takut dengan seksa-Nya yang teramat pedih, dan tidak menyimpang dari peraturan-Nya.
  2.  Wanita muslimah selalu menjaga solat lima waktunya dengan wuduknya, khusyu' dalam menunaikannya, dan mendirikan solat tepat pada waktunya, sehingga tidak ada sesuatupun yang menyibukkannya dari solat itu.  Tidak ada sesuatupun yang melalaikan dari beribadah kepada Allah s.w.t.  Sebab solat itu mencegah perbuatan keji dan mungkar serta benteng dari perbuatan maksiat.
  3.  Wanita selalu menjaga ketaatan suaminya, seiring sekata, sayang kepadanya, mengajaknya kepada kebaikan, menasihatinya, memelihara kesejahteraannya, tidak meninggikan suara dan perkataan kepadanya, serta tidak menyakiti hatinya.
  4. Wanita muslimah adalah yang menjaga hijabnya dengan rasa senang hati. Sehingga dia tidak keluar kecuali dalam keadaan berhijab rapi, mencari perlindungan Allah dan bersyukur kepada-Nya atas kehormatan yang diberikan dengan adanya hukum hijab ini, dimana Allah s.w.t menginginkan kesucian baginya dengan hijab tersebut.
  5.  Wanita muslimah adalah wanita yang mendidik anak-anaknya untuk taat kepada Allah s.w.t, mengajarkan kepada mereka akidah yang benar, menanamkan ke dalam hati mereka perasaan cinta kepada Allah dan Rasul-Nya menjauhkan mereka dari segala jenis kemaksiatan dan perilaku yang tercela.
  6. Wanita muslimah tidak berdua-duaan dengan lelaki yang bukan mahramnya. Nabi Muhammad s.a.w bersabda: "Diizinkan kalian keluar rumah untuk keperluan kalian (wanita)"(Mutafaq Alaih)
  7. Wanita muslimah adalah wanita yang tidak menyerupai lelaki dalam hal-hal khusus yang menjadi ciri-ciri mereka.  Nabi Muhammad s.a.w bersabda: "Allah melaknat lelaki yang menyerupai wanita dan wanita-wanita yang menyerupai lelaki."
  8. Wanita muslimah selalu menyeru ke jalan Allah dalam kalangan wanita dengan kata-kata yang baik, baik berkunjung kepadanya, berhubungan telefon dengan saudara-saudaranya, mahupun dengan sms.
  9. Wanita muslimah selalu menjaga hatinya dari syubhat mahupun syahwat.  Memelihara matanya dari memandang yang haram.
  10. Wanita muslimah selalu menjaga waktunya agar tidak terbuang dengan sia-sia, baik siang hari atau malamnya. Bermaksud menjauhkan diri dari mencaci dan hal lain yang tidak berguna.  "Janganlah kalian saling mendengki, saling membenci, saling mencari kesalahan dan bersaing dalam penawaran, namun jadilah hamba-hamba Allah yang bersatu." (Riwayat Muslim)
 
                                                                             
 

Tuesday, 28 June 2011

ALLAH MEMBERI PENGGANTI YANG LEBIH BAIK

Salam Ukhwah..
      
      Ibnu Rejab pernah bercerita tentang seorang 'abid ketika di Makkah. Dia kehabisan bekalan dan kelaparan hingga tubuhnya tidak berdaya lagi. Ketika sedang berjalan di salah satu lorong di kota Makkah dia mendapat satu kalung yang sangat mahal harganya. Diambilnya kalung itu dan dimasukkannya ke dalam saku, lalu pergi ke Masjidil Haram.  Tiba-tiba ada seorang lelaki yang mengumumkan bahawa dia kehilangan kalung.  Orang yang kehilangan kalung itu menjelaskan bagaimana bentuk kalung yang hilang itu.  Ternyata semua keterangan yang dia sampaikan sama dengan kalung yang ditemukan orang tersebut.  "Saya berikan kalung itu kepadanya namun dengan syarat memberi ganjaran kepada saya,"kata orang yang menemukan itu.  "Kalung itu pun diambilnya  dan pergi begitu sahaja tanpa ucapan terima kasih, atau dengan memberi satu dirham, sepatah kata , ataupun dengan memberi apa sahaja.  "Ya Allah, aku biarkan semua itu untuk-Mu maka gantilah untukku sesuatu yang lebih baik darinya."
      
           Kemudian dia pergi ke laut dan menumpang satu perahu.  Selepas di laut, tiba-tiba angin bertiup kencang sekali dan perahu yang ditumpanginya itu pun karam.  Akhirnya dia terapung-apung di atas air dengan sebatang kayu yang dimainkan angin ke kiri dan ke kanan hingga akhirnya terdampar di satu pulau dan dia pun turun ke daratan.  Di pulau itu dia mendapati satu masjid dan orang-orang yang sedang bersenbahyang, dia pun kemudian ikut sembahyang bersama mereka.

            Di masjid itu ia menemukan lembaran-lembaran kertas yang dibacanya ternyata ayat-ayat Al-Quran.  Seorang dari mereka bertanya kepadanya: "Adakah anda sedang membaca Al-Quran?" Jawabnya: "Ya."  Kemudian penduduk pulau itu berkata: "Ajarlah anak-anak kami Al-Quran."  Dia pun setuju untuk mengajarkan Al-Quran kepada mereka dengan upah.  Kemudian dia menuliskan tulisan Arab dan orang itu pun bertanya lagi: "Adakah anda boleh mengajar anak-anak kami menulis?" Jawabnya: "Ya."  Maka dia pun mengajar anak-anak mereka dengan menerima bayaran.

            Penduduk pulau itu kemudian bercerita bahawa di tempat itu ada seorang perempuan yatim, anak seorang yang sangat baik, ibu bapanya sudah wafat.  "Adakah anda mahu menikahinya?"  tanya orang-orang itu kemudian.  Dia menjawab: "Tidak apa."  Dan dia pun akhirnya menikah dengan perempuan yatim tersebut.  Ketika masuk ke biliknya, pada hari pertama, dia melihat kalung yang pernah dia temukan itu melingkar di leher isterinya itu.  Maka ia pun bertanya: "Bagaimana kisah tentang kalung ini?" Si isteri itu pun kemudian bercerita.  Dalam cerita itu disebutkan bahawa ayahnya suatu waktu pernah menghilangkannya di Makkah.  Kata si ayah kepadanya, kalung ini ditemukan oleh seorang lelaki yang kemudian diserahkan begitu sahaja kepadanya.  Setelah pulang dari Makkah, si ayah selalu berdoa dalam sujudnya mudah-mudahan Allah menganugerahkan suami buat anak perempuannya seperti lelaki yang menemukan kalung itu.  Di akhir ceritanya, si suami menyergah: "Sayalah lelaki itu."

          Sekarang kalung itu berada di sisi lelaki itu dengan kedudukan halal, sebab dia sudah meninggalkan sesuatu kerana Allah maka Allah pun menggantinya dengan yang lebih baik.

       "Sesungguhnya Allah itu baik dan tidak menerima kecuali sesuatu yang baik." (Hadis Nabi)






  

 

Saturday, 25 June 2011

DAPATKANLAH KEDAMAIAN DENGAN TUHANMU..

Salam Ukhwah..


     
  Kedamaian hati hamba adalah apabila ia tenang bersama ALLAH....

"Kemudian Allah menurunkan semangat tenang tenteram kepada Rasul-Nya dan orang-orang  beriman." (Surah At-Taubah: 26)
"Lalu Ia menurunkan semangat tenang tenteram kepada mereka." (Surah Al-Fath: 18)
"Kemudian Allah menurunkan semangat tenang tenteram kepada Rasul-Nya." (Surah Al-Fath: 26 "Maka Allah menurunkan semangat tenang tenteram kepada (Nabi Muhammad)." (Surah At-Taubah: 40)
         Ketenangan adalah keterpautan hati kepada Tuhan, kepercayaan hati yang sangat kuat kepada Yang Maha Pengasih , atau ketenangan nurani kerana bertawakal kepada Yang Maha Kuasa.  Ketenangan adalah kedamaian emosi dan tidak memberontak.  Ketenangan seperti ini adalah keadaan tenang yang boleh dicapai oleh orang-orang yang beriman, yang menghindarkan mereka dari kebingungan dan tekanan, keraguan dan was-was hati sesuai dengan tahap pergantungan hamba kepada Tuhannya, kualiti zikirnya, rasa bersyukurnya, kepatuhannya melaksanakan perintah-Nya, keteladanannya kepada Baginda Rasul, keteguhannya berpegang kepada petunjuknya, kecintaannya kepada Zat yang Menjadikannya, kepercayaannya kepada Raja yang Memerintahnya, kemampuannya untuk berpaling dari selain Allah, hanya menyeru Allah dan hanya menyembah kepada-Nya.


 
        "Allah menetapkan (pendirian) orang-orang yang beriman dengan kalimah yang tetap teguh dalam kehidupan dunia dan akhirat."  (Surah Ibrahim: 27)











 

Thursday, 23 June 2011

BUKAN YANG INI DAN BUKAN PULA YANG ITU.

 Salam Ukhwah....

      Senyuman itu terletak di antara kemuraman hati dan tertawa, sabar itu terletak di antara perasaan yang terlalu keras dan terlalu takut. 
Tidak ada di dunia ini kerja yang lebih sukar berbanding sabar.  Sabar di sini boleh bermakna sabar terhadap yang disukai dan sabar terhadap yang tidak disukai.  Sabar diperlukan dalam melakukan sesuatu yang sangat panjang masanya, atau ketika terperangkap dalam putus asa kerana sudah buntu.  Untuk mengharungi masa yang panjang itu diperlukan bekalan supaya boleh menyelesaikan perjalanan panjang itu hingga selesai.  Dan bekalan itu sendiri bermacam-macam.
       
       Yang pertama, menimbang kadar ujian itu, yang boleh jadi akan lebih besar dari yang dibayangkan.  Yang kedua, membayangkan bahawa di atas ujian itu ada yang lebih besar lagi.  Sebagai contoh, diuji dengan pelbagai musibah yang menimpa kita.  Ternyata ada ujian yang lebih berat dari musibah yang menimpa kita.  Yang ketiga, mengharap ganti di dunia.  Yang keempat, membayangkan pahala yang akan diperoleh di akhirat.  Yang kelima, menikmati pujian dengan mengandaikannya datang dari sesama manusia dan diarahkan kepadanya dan yakin bahawa pahala akan datang dengan sendirinya dari ALLAH.  Yang keenam, kesedihan itu sama sekali tidak mendatangkan manfaat, bahkan hanya akan memburukkan lagi keadaan.
 
         Terdapat banyak perkara yang dijauhi oleh akal dan fikiran.  Tidak ada jalan menuju kesabaran selain memberi sesuatu yang tidak dikehendaki oleh akal dan fikiran itu.  Oleh itu bermakna, orang yang sabar mesti menyibukkan diri dengan hal-hal seperti itu dan menghabiskan masa ujiannya dengannya.......   :)))