Seorang pujangga bermadah: mengapa aku mesti menangisi sesuatu yang mesti pergi?
Dunia dengan emas dan peraknya, jawatan dan rumah megahnya, ataupun istananya, tidak berhak mengalirkan setitis pun air mata kita. Diriwayatkan oleh At-Tirmizi bahawa Baginda Rasul bersabda: "Dunia ini terkutuk, semua yang ada di dalamnya terkutuk, kecuali zikir kepada Allah, hal-hal yang berkaitan dengan zikir, seorang alim dan seorang penuntut."
Dunia dan kekayaan itu sebenarnya tidak lebih dari barang amanah. Begitulah yang dikatakan oleh Labid: "Harta dan keluarga sudah tentulah merupakan barang amanah dan apabila sampai waktunya barang amanah itu akan dikembalikan."
Wang berbilion, rumah-rumah megah dan kereta-kereta mewah tidak akan menangguhkan kematian seseorang hamba. Begitulah dikatakan oleh Hatim At-Ta'i: Demi hidupmu, kekayaan takkan memberi manfaat kepada seorang pun ketika dada sudah tersengal dan sesak. Oleh itu kalangan bijaksana berkata: "Tentukan harga sesuatu itu secara rasional. Sebab dunia dan isinya tidak lebih mahal dari jiwa seorang mukmin."
"Dan (ingatlah bahawa)kehidupan dunia ini (meliputi segala kesenangan dan kemewahannya, jika dinilaikan dengan kehidupan akhirat)tidak lain hanyalah ibarat hiburan dan permainan." (Surah Al-Ankabut: 64)
Hasan Al-Bashri berkata: "Jangan tentukan harga dirimu kecuali dengan syurga. Jiwa orang yang beriman itu mahal, tetapi sebahagian dari mereka menjualnya dengan harga yang murah."
Ramai orang yang menangis meraung-raung kerana kehilangan harta, rumah mereka binasa dan kereta mereka terbakar, tetapi mereka tidak menyesal dan tidak bersedih hati apabila merosot nilai keimanan mereka, bertambah dosa-dosa mereka dan sikap mereka yang memandang sebelah mata terhadap nilai ketaatan kepada Tuhan mereka, mereka akan menyedari bahawa mereka tidak ada nilainya jika diukur dengan apa yang mereka tangisi dan akan menyesali apa yang mereka lakukan. Masalah nilai, idealisme, sikap dan misi.
"Sesungguhnya mereka (orang kafir) menyukai kehidupan dunia dan mereka tidak mempedulikan kesudahan mereka, pada hari berat (hati kiamat)." (Surah Al-Insan: 27)


No comments:
Post a Comment